Islam merupakan agama yang
berbeza daripada agama-agama lain. Jika dilihat agama Yahudi dan Nasrani,
mereka menjadikan paderi-paderi dan rabai-rabai mereka setanding dengan Allah
SWT. Kerana itu Nabi SAW ketika menegur sahabatnya yang baru memeluk Islam yakni
‘Ady ibn Hatim RA, apabila dia datang kepada Nabi SAW dalam keadaan memakai
salib, Nabi memintanya agar menanggalkan salib tersebut dan baginda SAW
membacakan firman Allah, ertinya:“Mereka menjadikan orang-orang alim dan
rahib-rahib mereka sebagai tuhan (tempat rujukan) selain Allah.” (surah At
Taubah, 9: 31)
‘Ady Ibn Hatim RA tercengang
mendengar perkataan Nabi SAW, kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, kami
tidaklah beribadah kepada mereka.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda, Ertinya: “Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa
yang Allah haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka
mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian pun mengharamkannya?” Beliau (‘Ady bin Hatim) berkata :
“Benar”. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Itulah
(yang dimaksudkan) beribadah kepada mereka.” (riwayat Ahmad, Tirmidzi, ‘Abd bin
Humaid, Ibnu Abi Hatim, dan Ath Thabrani dari banyak jalur)
Mereka mendengar dan mengikuti
perkataan orang-orang alim di kalangan mereka yang tidak selayaknya bercakap
tentang agama Allah SWT dan mereka membiarkan orang-orang ini berkata-kata,
seterusnya mengikuti tanpa menganalisa apa yang disampaikan.
Islam agama yang berbeza. Islam
menetapkan prinsip, metodologi, garis panduan, tanda aras untuk memastikan amal
perbuatan umatnya diterima oleh Allah SWT. Sebab itu jika dilihat dalam agama
atau kecenderungan-kecenderungan yang lain sama ada ia dikaitkan dengan Islam
atau pun ajaran-ajaran yang sesat, mereka bukan mengajak manusia kepada Allah
dan kembali mencontohi Nabi SAW. Mungkin sebahagian mereka mengajak kepada
Allah, tetapi pada masa yang sama mereka mengajak untuk mengikut cara
imam-imam, tok guru, dan mursyid-mursyid mereka, bukan mengikuti cara Nabi SAW.
Berbicara tentang Ramadhan;
antara ibadat dan adat. Mengapa semua umat Islam pada hari ini tertarik dengan
Ramadhan, tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan kalau bukan kerana ayat-ayat
Allah dan hadis-hadis Nabi SAW yang datang menceritakan pelbagai
kelebihan-kelebihan yang dikaitkan dengan Ramadhan, serta kelebihan bulannya.
Diceritakan kepada kita akan
kelebihan puasa itu sendiri yang tidak berkait pun dengan bulan Ramadhan,
kelebihan berpuasa yang umum seperti dalam hadis yang lain Nabi berpesan kepada
pemuda-pemuda, maksudnya:
“Wahai sekalian pemuda,
barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia
menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara
kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana
puasa adalah perisai baginya.” (riwayat Al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400)
Bahkan diceritakan pula tentang
kelebihan puasa yang seterusnya iaitu berpuasa khusus di dalam bulan Ramadhan,
dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, maksudnya:
“Barangsiapa yang berpuasa di
bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan dan pengampunan
daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.”
(riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Kemudian diceritakan pula
kelebihan hari-hari di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak, dikaitkan dengan 10
hari yang terakhir, dikaitkan juga Ramadhan dengan Lailatul Qadar, hari
tertentu yang dipetik khusus oleh Allah SWT dan kelebihannya disebut di dalam
Al Quran, ertinya:
“Sesungguhnya Kami telah
menurunkannya (Al Quran) pada malam Al Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al
Qadr itu? Malam Al Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun
malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (surah Al Qadr, 97: 1-5)
Bukan sekadar itu sahaja bahkan
diceritakan lagi kelebihan-kelebihan, amalan-amalan khusus di dalam bulan
Ramadhan Al Mubarak seperti membaca Al Quran. Dinyatakan oleh Nabi SAW secara
umum di dalam hadis, selain daripada Nabi menggunakan perkataan “man shaama ramadhan (sesiapa berpuasa di bulan
Ramadhan)”, datang dalam riwayat lain yang sahih, Nabi SAW bersabda “man qaama ramadhan (sesiapa yang menghidupkan
Ramadhan)”.
Bagaimanakah cara menghidupkan
Ramadhan? Bukanlah Ramadhan dihidupkan dengan tidur, bukan dengan sekadar
menahan lapar dan dahaga, tetapi Ramadhan dihidupkan dengan akhlak yang mulia,
ibadah, tauhid di dalam bulan tersebut.
Maka kita pun tertarik dengan
Ramadhan kerana ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Tetapi aneh,
mengapa apabila kita hendak beramal dalam bulan Ramadhan, kita tidak bergantung
pula kepada ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah? Ini persoalannya dan
kembali kepada tajuk perbincangan kita pada hari ini; Ramadhan antara ibadat
dan adat.
Tanyalah pada diri, petunjuk
siapakah yang kita ikut dalam beramal sepanjang bulan Ramadhan? Sekiranya kita
tertarik untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan kerana ayat-ayat Allah SWT dan
sabda Rasulullah SAW, maka apakah yang menyebabkan kita tidak tertarik untuk
beramal dalam bulan Ramadhan sesuai dengan ayat-ayat Allah dan petunjuk
Rasulullah SAW?
No comments:
Post a Comment