Bulan Rejab
mengikut pandangan Al-Quran dan As-Sunnah
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.
Bulan Rejab Menurut Al-Quran
Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)
Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.
Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.
Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.
(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)
(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.
Bulan Rejab Menurut As-Sunnah
Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.
Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).
Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
Perselisihan Pendapat Mengenai Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Bulan Rejab
Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)
“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.
(Hadis ini juga dhai’f)
“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)
Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’.
Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.
Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.
Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.
http://www.islah.edu.my/
Terima kasih atas perkongsian...semoga membawa manfaat kepada semua.
ReplyDelete