Andai pilihanraya umum yang bakal mencecah angka 13, merupakan satu tarikh penting penentu pentadbiran negara, begitu juga dengan fenomena pilihanraya kampus. Bezanya pilihanraya kampus disambut ala perayaan kerana pada masa ini semua mahasiswa/wi akan keluar mengundi memilih perwakilan mereka.
Rata-rata universiti di Malaysia akan mengadakan pilihanraya selepas setahun pentadbiran Majlis Perwakilan Pelajar. Justeru selepas pembubaran majlis ini, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan proses pilihanraya, bermula dengan notis, penamaan calon, kempen dan acara klimaksnya membuang undi. Begitulah tertib pilihanraya kampus yang mengambil tempat.
Maka peranan pemilih yakni mahasiswa adalah penting dalam menentukan perwakilan yang yang dipilih. Beberapa kriteria seperti calon yang berkarisma dan mampu bekerja menjadi bual bicara mahasiswa. Kumpulan mahasiswa yang terkuat akan membentuk sebuah kabinet mahasiswa yang baik dan mampu berjuang. Apakah kriteria terbaik bagi pembawa amanah mahasiswa? Siapakah yang sepatutnya mengisi tempat 36 kerusi perwakilan? Ke manakah hala tuju majlis yang memanifestasikan sokongan hampir 20 000 mahasiswa Universiti Utara Malaysia.
Antara salah satu kumpulan kesedaran mahasiswa ialah kumpulan Perubahan. Perubahan ini lahir dengan nama Parti Islah Agenda Utama (IAU) yang ditubuhkan pada tampuk kepimpinan Allahyarham Dato’ Fawzi Basri sebagai Timbalan Naib Canselor UUM pada tahun 1997. Penubuhan IAU mewakili suara sokongan mahasiswa terhadap aspirasi kerajaan serta aspirasi universiti. Sokongan terhadap aspirasi universiti ini penting pada ketika itu kerana usia yang masih muda. Atas justifikasi sayangkan universiti golongan kesedaran membentuk IAU yang membawa maksud Perubahan menjadi agenda utama perjuangan aktivis mahasiswa.
Pada satu ketika, landskap politik kampus diselubungi oleh sekumpulan mahasiswa yang ekstrim terhadap politik luar. Mereka digelar Puak Taliban kerana ketaksuban mereka. Puak Taliban ini digelar parti Merah yang menyebelahi agenda politik luar yakni pembangkang. Kewujudan IAU adalah tidak lebih untuk menyusun gerakan mahasiswa ketika itu dalam penyerapan nilai Islam yang sebenar serta menjadikan rasional sebagai senjata mahasiswa menangkis anasir politik luar yang keterlaluan. Parti IAU kemudiannya menukar nama kepada Perubahan. Dan memakai warna kuning sebagai warna rasmi Perubahan pada ketika itu.
Pada tahun 1999, ketika kampus lain dilanda fenomena reformasi, Perubahan berjaya menakluk UUM. Setelah kebanyakan IPT Berjaya ditransformasikan oleh pergerakan kesedaran ini, pergerakan pro aspirasi kerajaan dan universiti telah dilabel sebagai Aspirasi.
No comments:
Post a Comment